KAIMBI (kiri) hanya menjaringkan satu gol setakat ini.


PENYERANG import Pahang, Lazarus Kaimbi perlu mempamerkan aksi lebih menyengat ketika melayan kunjungan FELDA United FC di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pemain kelahiran Namibia itu perlu membuktikan ketajaman jika mahu membantu pasukan mencari gol.

Katanya, ketiadaan Dickson Nwakaeme yang tersisih disebabkan kecederaan seharusnya membuka peluang kepada Kaimbi mempamerkan kemampuan sebenar.

"Bukan saja berdepan FELDA United, malah aksi terakhir bertemu Melaka United Sabtu ini juga perlu digunakan Kaimbi untuk tampil lebih cemerlang menjelang saingan Piala Malaysia bulan depan," katanya.

Sebaik menyertai skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua, Kaimbi hanya menjaringkan satu gol setakat ini.

Ditanya misi muncul naib juara Liga Super musim ini, Mohammed Suffian berkata, kemenangan ke atas The Fighters akan mengesahkan kedudukan itu.

Katanya, skuad kendalian Dollah Salleh tidak perlu menunggu perlawanan terakhir liga bertemu Melaka United Sabtu ini.

"Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana kami hanya memerlukan tiga mata untuk mengesahkan kedudukan di tempat kedua liga.

"Selain itu, sokongan padu peminat Tok Gajah juga dialu-alukan untuk memastikan kemenangan dan bersama meraikan kejayaan," katanya.

Berbaki dua perlawanan, Pahang hanya memerlukan tiga mata lagi untuk mengesahkan status selaku naib juara Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 1:57 PM