Negeri Sembilan fokus berdepan UiTM FC selepas kalah kepada PDRM. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


SKUAD Negeri Sembilan sudah melupakan kekecewaan tewas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-3, minggu lalu.

Mereka kini fokus kepada pertembungan dengan UiTM pada aksi terakhir Liga Perdana musim ini di tempat lawan Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Mohd Khairollah Abd Latif berkata, pemain akur dengan kekalahan kepada PDRM dan menyifatkan pasukan Hobin Jang Hobin tidak bernasib baik hingga menyebabkan peluang untuk layak ke Liga Super musim depan hampir tertutup.

"Bukan saja pemain dan penyokong yang kecewa dengan keputusan perlawanan itu, malah saya sendiri turut merasai perasaan yang sama.

"Pemain sudah berikan sepenuh komitmen sepanjang 90 minit permainan untuk mendapatkan kemenangan tapi takdir menentukan ia bukan rezeki kami.

"Bagaimanapun, perjuangan masih belum berakhir kerana kita akan menghadapi perlawanan penentuan menentang UiTM, Sabtu ini," katanya ketika dihubungi selepas sesi latihan, hari ini.

Mohd Khairollah berkata, keputusan pasukan yang akan mengiringi Sabah beraksi di Liga Super musim hadapan akan ditentukan pada perlawanan terakhir itu.

Menurutnya, walaupun nasib Negeri Sembilan dilihat samar kerana bergantung kepada keputusan perlawanan lain, pihaknya pasrah andai peluang bukan milik pasukan berkenaan.

"Apapun kita akan buat persiapan terbaik dan jadikan kesilapan lalu sebagai pengajaran.

"Fokus utama sekarang adalah untuk memastikan Negeri Sembilan menang pada aksi terakhir itu nanti dan selebihnya kita berserah pada takdir, jika ada rezeki," katanya mengakui pemain pasukan itu masih bersemangat tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:03 PM