Skuad Terengganu tidak mahu tergesa-gesa mendapatkan pemain import. FOTO NSTP
Malik Muhamad


TERENGGANU FC (TFC) tidak mahu bertindak terburu-buru sebaliknya akan mengambil langkah teliti sebelum membuat keputusan muktamad menyenaraikan seorang pemain import Terengganu FC II (TFC II) bagi memantapkan pasukan itu menjelang saingan Piala Malaysia Ogos ini.

Ini kerana TFC mahu memanfaatkan sebaik mungkin kuota yang sudah ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung perkara itu sesudah pelaksanaan sistem `feeder club’ selepas penjenamaan semula dua pasukan bersaudara itu sejak 2018.

Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, setakat ini belum ada keputusan muktamad lagi berhubung perkara itu sama ada skuad Penyu akan menyenaraikan pemain pertahanan TFC II, Serhii Andrieiev atau pemain tengahnya, Dechi Marcel bagi memantapkan lagi pasukan.

“Penyertaan pemain import (Andrieiev dan Marcel) bergantung kepada taktikal yang akan digunakan barisan kejurulatihan yang diketuai Nafuzi Zain.

“Hal ini kerana pertukaran pemain import dari TFC ke TFC II dan begitu sebaliknya ada hadnya, jadi kita tidak mahu mempersiakan kuota yang diberikan oleh pihak MFL.

“Justeru pemilihan pemain itu hanya akan ditentukan apabila sesi latihan diadakan, namun begitu tidak semestinya pemain yang dipanggil latihan bersama itu akan dipilih oleh barisan jurulatih.

“Penilaian berkaitan akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi semasa pemain dan taktikal akan digunakan pada perlawanan berikutnya,” ujar Shahrizal, percaya barisan jurulatih mampu membuat keputusan terbaik.

Selain pemain import kelahiran Ukraine dan Ivory Coast itu, dua lagi pemain TFC II iaitu Abdul Shukur Jusoh dan Shaziran Sapien turut dipanggil menjalani latihan bersama pasukan utama itu.

Sebelum ini, TFC hampir pasti mengikat pemain import dari Brazil, Luis Gustavo Camilo bagi memantapkan jentera pertahanan namun kelewatan 30 saat untuk mengemukakan dokumen dalam Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS) menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak permohonan PBSNT untuk mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain itu.

Malah rayuan PBSNT kepada badan induk bola sepak dunia itu melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan Camilo beraksi juga ditolak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:32 PM