Zulfadli dan Chun Seang (kanan) didakwa kes mengatur perlawanan. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


HASRAT pemain badminton profesional, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak kesampaian.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata rayuan kedua-dua pemain berkenaan untuk membawa kes mengatur perlawanan ditolak CAS.

“BWF mengesahkan rayuan dibuat Zulfadli dan Chun Seang untuk mencabar keputusan Panel Pendengaran pada April 2018 untuk membawa kes berkenaan ke CAS ditolak,” jelas kenyataan yang dikeluarkan badan induk dunia itu semalam.

Sebelum ini, Panel Pendengaran BWF menjatuhkan hukuman menggantung Zulfadli daripada sebarang kejohanan kompetitif selama 20 tahun dan denda sebanyak AS$25,000 (RM82,140).

Chun Seang pula digantung selama 15 tahun dan denda sebanyak AS$15,000 (RM61,604).

BWF berpuas hati dan sependapat dengan keputusan dikeluarkan oleh CAS. Pada 2 Mei lalu, Zulfadli dan Chun Seang didapati bersalah oleh tiga panel bebas - James Kitching, Sylvia Schenk dan Annabel Pennefather.

Zulfadli dan Chun Seang didakwa mengatur keputusan sepanjang enam kejohanan berbeza iaitu GP Emas Terbuka London (2013), GP Terbuka Belanda (2013), GP Emas Terbuka Korea (2014), GP Terbuka Macau (2014), GP Terbuka AS (2014) dan GP Emas Terbuka Brazil (2016).

Berdasarkan laporan penuh panel, perbualan aplikasi WhatsApp (sebahagian besarnya dalam bahasa Melayu) antara kedua-dua pemain itu sepanjang 15 bulan antara 27 September 2013 hingga 12 Disember 2014 dijadikan bukti.

Tiga panel bebas itu mendapati Chun Seang melakukan 26 kesalahan di bawah kod salah laku 2012 kerana terbabit mengatur perlawanan manakala Zulfadli terbabit dalam 27 kesalahan mengikut kod sama selain empat lagi kesalahan di bawah kod salah laku 2016.

Aktiviti kedua-dua pemain itu mula dikesan selepas BWF menerima aduan pemain yang mendakwa Zulfadli menghubungi mereka untuk cuba mengatur perlawanan pada Terbuka Brazil 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 11:37 PM