Pemain pasukan Pahang dalam salah satu aksi Liga Super. FOTO NSTP
Syazwan Msar


HANYA enam pasukan sahaja bertaraf ‘Super’ dan selebihnya masih lagi gagal mencapai tahap memuaskan membabitkan kewangan dan pengurusan membabitkan pasukan bola sepak yang bersaing dalam Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam berkata, ia berikutan struktur pengurusan, kewangan dan model pembangunan akar umbi boleh dikatakan tidak kukuh dan mempunyai perancangan jitu.

Malah, cadangan daripada beberapa pihak supaya lebih banyak pasukan dimasukkan dalam saingan Liga Super dengan jumlah keseluruhan 16 pasukan seolah dilihat mustahil untuk dilakukan memandangkan kebanyakannya tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

Kevin berkata, setakat ini Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Kedah, Selangor, Melaka United dan Perak mempunyai perancangan kukuh dan kemudahan optimum untuk pembangunan bola sepak masing-masing.

“Saya tidak mengatakan pasukan terbabit tidak cukup bagus cuma jika mahu mencapai tahap Liga Super perlu mempunyai struktur kewangan kukuh, jalinan kuat bersama penyokong mereka, kemudahan lengkap dan mampu menjana pendapatan sendiri.

“Sekarang ini, hanya ada enam pasukan saja yang memenuhi kriteria terbabit dan selebihnya mempunyai masalah tertentu. Jadi bagaimana mahu mencari 16 pasukan untuk saingan Liga Super.

“Ada juga pasukan Liga Super yang dihadiri 200 hingga 300 penyokong saja sekali gus melihat hubungan bersama peminat masih lagi kurang memuaskan,” katanya, ketika ditemui Arena Metro.


Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melahirkan rasa kesal berhubung sambutan dingin ahli gabungan terhadap Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) yang diumumkan Februari tahun lalu.

Beliau berkata, projek itu dilancarkan bertujuan memastikan ahli gabungannya mempunyai asas kukuh dari semua segi tadbir urus termasuk kewangan, maklumat pembangunan teknikal dan belia serta pemasaran selaras Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 atau F:30.

Berikutan itu, FAM menubuhkan satu jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional yang diberi peranan untuk memastikan semua pasukan Liga-M mempunyai sebuah organisasi kelab yang berlesen bagi menjalankan aktiviti secara berasingan daripada FA bermula pada musim 2021.

Ketika ini hanya dua kelab yang bergerak berasingan tanpa ada bantuan daripada FA iaitu kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki sepenuhnya oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Liga Super dan Selangor United yang beraksi di Liga Perdana.

Sementara itu, Kevin berkata setiap pasukan seharusnya mula mencari dana sendiri dengan tidak mengharapkan suntikan kewangan daripada kerajaan negeri atau pembayaran geran semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 11:56 PM