Satwant Singh (kanan) ambil peluang projek ACE.
Meor Riduwan Meor Ahmad


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) serius untuk menyertai Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) dan mahu penjelasan lebih terperinci diberikan berkenaan pelbagai pakej dan bantuan ditawarkan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Satwant Singh berkata, ini kerana Projek ACE yang diwujudkan FAM penting untuk pembangunan bola sepak secara amnya.

Namun, katanya setakat ini pihaknya hanya mengetahui berkaitan sistem pengurusan kewangan sahaja dalam projek itu.

"Minggu lalu kami dimaklumkan oleh pengurus perlesenan kelab berkaitan sistem pengurusan kewangan yang ditawarkan.

"Memang kita berminat, namun sistem itu sudah kami gunakan dan berharap ada sistem baru. Jadi kami tidak tamak dan beri peluang kelab yang baru naik dan masih gunakan sistem tradisional untuk perakaunan dan kewangan memohon Projek ACE.

"Kita berterima kasih kerana program yang baik dan semestinya akan ambil peluang untuk beri kerjasama dan memohon untuk menyertainya," katanya dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Kongres badan induk bola sepak itu pada Sabtu lalu yang kesal sambutan dingin ahli gabungan terhadap projek itu.

Projek ACE diilhamkan Hamidin dan selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 atau F:30 yang menitikberatkan pemerkasaan ahli gabungan supaya mampu bergerak seiring dengan badan induk berkenaan.

Antara perkhidmatan disediakan termasuk bantuan dari segi urus tadbir seperti pengurusan kewangan, perundangan, pemasaran dan penajaan, media dan komunikasi, pembangunan kelab penyokong selain penilaian teknikal menerusi kursus kejurulatihan dan penyediaan peralatan dan bengkel berkaitan sistem pengurusan liga dan pertandingan berasaskan elektronik serta dana untuk penganjuran liga negeri.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung 2 Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Andrew Laban ketika dihubungi memaklumkan akan mengadakan mesyuarat pada hari ini termasuk membincangkan isu dibangkitkan Hamidin.

"Sememangnya kita maklum berkaitan Projek ACE dan akan mendapatkan info terperinci mengenainya daripada wakil yang menghadiri kongres itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 12:15 AM