Atlet Para, Bonnie Bunyau cipta sejarah. FOTO File NSTP

ATLET para kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi mempamerkan kejaguhan dalam acara angkat berat pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting Nur-Sultan di Kazakhstan, malam tadi.

Bonnie atlet kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu berjaya melakukan angkatan 207 kilogram (kg) bagi kategori lelaki 65kg (ke atas).

Kejayaan Bonnie dikongsi menerusi twitter Team Malaysia yang memaparkan rakaman video berdurasi dua minit dua saat di atas kejayaan angkatan atlet negara itu.

Menerusi entri itu memuji kejayaan atlet negara itu “Tak cukup jadi world champion, angkatan seberat 207kg menjadikan Bonnie Bunyau sebagai pemegang rekod dunia remaja junior baru! Cukup luar biasa, kebanggaan negara! Tak cukup sekali, 2 kali jadi JUARA DUNIA! Kalau sebelum ini atlet Para, Bonnie Bunyau kita tapau 190kg, kali ini dia up lagi ke 207kg untuk kategori Men’s Up to 65kg! Memang legend.”

Sabtu lalu pemegang rekod dunia remaja itu melakukan angkatan 190kg untuk muncul juara dalam acara bawah 65kg (below) lelaki pada kejohanan yang berlangsung di Astana Congress Center itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 1:08 AM