ZULFADLI digantung daripada menyertai sebarang kejohanan kompetitif selama 20 tahun.
Ferzalfie Fauzi

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan ia satu pengakhiran buat Zulfadli Zulkiflli dan Tan Chun Seang.

Menurutnya, perkara berkenaan bukan saja menyedihkan tapi juga menjadi iktibar kepada pemain lain bahawa mereka perlu mempunyai integriti dan berlandaskan etika yang baik dalam sukan.

“Ia agak merugikan negara dan kita tahu keputusan ini muktamad. Bagaimanapun BAM akan meneliti keputusan ini dan melihatnya dengan terperinci,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

“Ia juga menjadi pengajaran buat semua atlet agar mementingkan profesionalisma dan integriti tinggi. Mereka juga perlu sedar pihak berkuasa dan badan sukan induk dunia mempunyai pelbagai cara untuk menyiasat perkara tidak betul.

“Nasihat saya kepada semua atlet khususnya badminton, jauhi perkara tidak baik dan sedar tiada jalan mudah untuk berjaya. Mereka perlu melihat contoh seperti Datuk Lee Chong Wei yang melalui jatuh bangun seorang atlet,” katanya.

Semalam dalam satu kenyataan dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak permohonan rayuan kes mengatur mengatur perlawanan membabitkan kedua-dua pemain berkenaan.

Sebelum ini, Panel Pendengaran BWF menjatuhkan hukuman menggantung Zulfadli daripada sebarang kejohanan kompetitif selama 20 tahun dan denda AS$25,000 (RM82,140). Chun Seang pula digantung 15 tahun dan denda AS$15,000 (RM61,604).

Sementara itu, usaha mendapatkan Zulfadli dan bapanya Zulkifli Sidek untuk memberi ulasan lanjut gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 2:11 PM