Tajul nafi PAFA sudah mula jual tiket final Piala FA. FOTO fail NSTP
Farah Suhaidah Othman


PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) menafikan tiket final Piala FA antara pasukan Perak menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Julai sudah mula dijual kepada orang ramai.

Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar, berkata maklumat kononnya penjualan tiket dibuat yang tersebar di media sosial adalah palsu dan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, pihaknya bagaimanapun tidak bertanggungjawab sekiranya penyokong sudah membeli tiket palsu itu.

"Tidak ada sesiapa pun mempunyai tiket final Piala FA 2019, jika ada yang mendakwa sudah mempunyai tiket, orang itu cuba nak ambil kesempatan dan penyokong perlu berhati-hati.

"Tiket hanya akan dijual pada 23 Julai dan mustahil jika ada pihak yang mendakwa mempunyai 500 tiket ketika ini.

“Kita nasihatkan mereka agar beli tiket melalui saluran sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan kononnya terdapat individu yang mendakwa sudah mempunyai tiket seperti yang tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Tajul Hasnan berkata, pihaknya diperuntukkan sebanyak 30,000 keping tiket dengan 15,000 tiket akan dijual di Stadium Perak manakala 12,000 tiket akan diagihkan di seluruh daerah.

Baki 3,000 tiket lagi akan dijual kepada penaja serta jabatan kerajaan berkaitan.

Menurutnya, PAFA akan mula menjual tiket pada 23 Julai bermula jam 10.30 pagi hingga 3.30 petang di kaunter tiket Stadium Perak.

“Bagi penyokong yang jauh pula, mereka boleh membelinya di Stadium Mini Parit Buntar, Pejabat Kemas Kampung Gajah dan kaunter pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang turut diagihkan.

"Selain itu, tiket turut boleh dibeli di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Tanjung Malim, PDT Lenggong, Dewan Jubilee Perak (Kuala Kangsar) dan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (Seri Manjung).

"Masa jualan tiket di daerah sama seperti di Stadium Perak dan lokasi ini telah dipersetujui oleh persatuan bola sepak daerah masing-masing,” katanya. Dalam pada itu, beliau mengharapkan kehadiran penyokong pada aksi final itu mampu menyuntik motivasi dalam kalangan pemain untuk menjulang piala berprestij itu. Katanya, kali terakhir pasukan Perak menjulang trofi berkenaan adalah pada tahun 2004 dengan menumpaskan Terengganu menerusi jaringan 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:00 PM