HAFIZH (kanan) melayan peminat di Kuala Lumpur, malam tadi. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Saiful Affendy Sapran


MEMBERI saingan kepada rakan sepasukan, Miguel Oliveira serta Johann Zarco dari Red Bull KTM Factory Racing menjadi sasaran terakhir pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Red Bull KTM Tech 3.

Seolah-olah mahu membuktikan dia juga pelumba berkaliber dalam kelas perdana itu, Hafizh berkata, motivasinya masih tinggi walaupun menyedari kariernya musim depan masih tidak menentu.

“Saya masih bersemangat berlumba terutama untuk rakyat Malaysia, penaja serta keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

“Kalau boleh bagi baki saingan musim ini saya mahu memberi saingan kepada rakan sepasukan serta Zarco. Inilah sasaran utama saya sebelum berakhir dengan pasukan sekarang.

“Saya mahu tinggalkan pasukan dengan keputusan yang baik sebelum beralih ke pasukan lain,” katanya.

Sama seperti Hafizh, Zarco yang juga juara Moto2 dua kali dan mendapat sokongan penuh KTM, bergelut dengan prestasi jentera apabila mengutip 16 mata untuk menduduki tempat ke-17 kedudukan pelumba MotoGP.

Oliveira pula satu anak tangga di bawah Zarco dengan 15 mata manakala Hafizh sekadar mengumpul tiga mata selepas sembilan pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 9:12 PM