PANDELELA beraksi pada final 10m platform wanita di Gwangju, hari ini. — FOTO Reuters
Aida Adilah Mat


IMPIAN penerjun negara Pandelela Rinong untuk menghadiahkan pingat kedua negara pada Kejohanan Terjun Dunia di Gwangju, Korea Selatan tidak kesampaian.

Penerjun dari Sarawak berusia 26 tahun itu menamatkan acara final 10 meter platform individu wanita di tangga kelima selepas mengumpul 349.25 mata menerusi lima terjunan.

Bagaimanapun Pandelela sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan semua 12 penerjun yang layak ke final acara itu mendapat tiket secara automatik.

Acara final itu dikuasai dua penerjun China yang menamatkan aksi di kedudukan satu-dua.


PANDELELA (kiri) dan Mun Yee ketika memenangi pingat perak 10m platform seirama wanita Ahad lalu. — FOTO EPA

Pingat emas diraih Chen Yuxi yang mengumpul 439 mata, perak milik Lu Wei dengan 377.20 mata manakala gangsa milik penerjun Amerika Syarikat, Delaney Schnell dengan 364.20 mata.

Ahad lalu, gandingan Pandelela dan Leong Mun Yee menghadiahkan pingat pertama negara di Gwangju menerusi pingat perak acara 10m platform seirama wanita.

Cabaran negara akan diteruskan esok apabila Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng beraksi dalam acara 3m papan anjal individu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 9:56 PM