STERLING (tengah) membantu City mara ke final Trofi Liga Perdana Asia, Sabtu ini. — FOTO AFP
AFP

PEMAIN baharu Manchester City, Rodri membuat penampilan sulungnya namun Raheem Sterling meledak dua gol ketika juara Liga Perdana Inggeris itu bangkit daripada ketinggalan sebelum membenam West Ham 4-1 di China, malam ini.

West Ham mendahului menerusi sepakan penalti Mark Noble sebelum David Silva menyamakan kedudukan buat City, kemudian Lukas Nmecha menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu anak buah Pep Guardiola mendahului ketika rehat.

Sterling, pemain kebangsaan England yang menikmati musim terbaiknya tahun lalu bersama kelab dan negara, menyumbat dua gol pada babak kedua ketika pertahanan West Ham terlelap di Nanjing.

Guardiola membariskan gabungan pemain utama dan simpanan dengan Silva mengetuai pasukan itu dan Kevin De Bruyne, yang terlepas hampir keseluruhan musim lalu kerana kecederaan, tampil sebagai pemain gantian babak kedua.

NMECHA (kanan) menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama. — FOTO premierleague.com

Dia disertai selepas rehat oleh pemain sayap Jerman, Leroy Sane, yang dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke Bayern Munich.

Rodri, pemain tengah kebangsaan Sepanyol menyertai City awal bulan ini dengan kontrak lima tahun dari Atletico Madrid.

Pemain berusia 23 tahun itu secara rasmi menjadi pemain City sehari selepas kelab La Liga itu mendedahkan klausa tebus kontrak 70 juta euro (RM323 juta) sudah diaktifkan.

Kehadiran City di China bagi Trofi Liga Perdana Asia terlewat selama dua hari kerana “isu pentadbiran.”

City akan berdepan Wolverhampton Wanderers yang menewaskan Newcastle United 4-0 pada final di Shanghai, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:09 AM