SADIO MANE
SADIO MANE
Agensi

SADIO Mane mungkin tidak cukup cergas untuk permulaan kempen Liverpool musim depan susulan komitmennya di Piala Negara Afrika, kata pengurus Juergen Klopp.

Bintang Senegal itu mewakili negaranya untuk kejohanan di Mesir dan membantu pasukannya mara ke final di mana mereka akan menentang Algeria di Kaherah awal pagi esok.

Ketika majoriti pemain Liverpool kembali ke latihan pra-musim dan persiapan jelajah pra-musim ke Amerika Syarikat, Mane agak ketinggalan berbanding rakan sepasukan dalam aspek persiapan pra-musim.

Pengendali Liverpool Klopp menyedari penyerang itu memerlukan rehat selepas beraksi di Mesir dan dia pastinya bergelut mencapai kecergasan untuk Perisai Komuniti menentang Manchester City pada 4 Ogos.

“Kami akan memerhatikan keadaan Sadio selepas perlawanan akhir, bagaimana perasaannya dan perkara berkaitan,” kata Klopp kepada laman web kelab itu.

“Ia pasti sukar kerana 16 hari sebelum kami menentang City, kempennya baru saja berakhir. Kami perlu membuat keputusan tetapi kami masih belum melakukannya.”

Liverpool akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris di laman sendiri menentang Norwich 9 Ogos ini, iaitu tiga minggu selepas Mane mewakili Senegal pada final Piala Negara Afrika.

Pastinya ia sesuatu peralihan yang pantas buat pemain berusia 27 tahun yang beraksi dalam 50 perlawanan mewakili Liverpool dalam semua kejohanan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:01 AM
Digital NSTP Subscribe