TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Meor Riduwan Meor Ahmad


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menerima perlantikan baginda sebagai Penasihat Diraja kepada Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (eSM).

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan dimuat naik di Twitter rasmi baginda semalam.

Difahamkan terdahulu, Tunku Ismail menerima mengadap Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha dan timbalannya, Muhammad Fadzli Hasan, Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Sallehen Mohamad dan Presiden e-Sport Kuala Lumpur, Hisham Darus merangkap Setiausaha eSM.

Beberapa keping gambar pertemuan berlangsung selama dua jam di sebuah hotel di Johor Bahru itu turut dimuat naik ke Twitter baginda.

Sementara itu, Hisham ketika dihubungi memaklumkan perlantikan Tunku Ismail bakal membawa lembaran baharu bagi sukan elektronik di Malaysia yang turut bakal beraksi di Sukan SEA Manila tahun ini.

Katanya, pertemuan itu dibuat atas kapasitinya sebagai Presiden E-Sport Kuala Lumpur.

"Pada masa sama sebagai setiausaha eSM saya menyampaikan hasrat Presiden ESM yang mencadangkan Tunku Ismail sebagai Penasihat Diraja dan baginda memperkenankannya.

"Baginda komited melihat potensi besar sukan elektronik di negara ini dan mempertimbang untuk membimbing persatuan ini dari segi khidmat nasihat seperti dilakukan terhadap kelab JDT yang kini antara nama besar di Asia Tenggara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 2:16 PM