HAFIZH ketika beraksi pada Grand Prix Belanda, baru-baru ini. — FOTO E-mel NSTP
Saiful Affendy Sapran


BUKAN dua tetapi sekurang-kurangnya tiga pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada saingan Kejohanan Motosikal Dunia tahun depan.

Demikian pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berhubung pasukan yang berminat untuk mendapatkan Hafizh dalam kelas Moto2.

Meskipun tidak terbabit secara langsung dengan masa depan pelumba yang mendapat gelaran Pescao itu, namun Razlan berkata, sebagai rakyat Malaysia beliau juga perlu mengambil inisiatif untuk membantu Hafizh.

“Semua pasukan sebenarnya agak bagus tapi anda perlu mencari pasukan yang benar-benar memerlukan pelumba tahun depan.


KONTRAK Hafizh (tengah) bersama Red Bull KTM Tech 3 tamat hujung musim ini. — FOTO E-mel NSTP

“Di sini sedikit sebanyak saya cuba untuk membantunya. Selain dua pasukan yang dikatakan berminat untuk mendapatkan Hafizh, ada satu lagi pasukan juga sedang memantau perkembangan semasanya.

“Jadi sama-sama kita tunggu bagaimana perkembangannya nanti kerana masih ada masa lagi,” katanya.

Untuk itu, Razlan menasihatkan Hafizh supaya tidak mudah berputus asa serta kecewa selepas kontraknya bersama Red Bull KTM Tech 3 tidak disambung.

Kontrak Hafizh tidak disambung musim depan selepas pasukan itu mengumumkan untuk menggunakan khidmat juara Moto3 2016, Brad Binder.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 6:09 PM