WAN Rahim (dua kiri) dan Sian Shyen (dua kanan) memperagakan dokumen MoU antara KAFA dengan MQ Technology di Kota Bharu, hari ini. — FOTO Syamsi Suhaimi
Syaherah Mustafa


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) menerima sumbangan RM200,000 daripada syarikat MQ Technology Berhad selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk menubuhkan syarikat The Red Warriors Sdn Bhd.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, wang itu akan diagihkan sepenuhnya kepada pemain sebelum turun menentang UKM FC, Sabtu ini.

“Melalui syarikat yang baru ditubuhkan ini, KAFA bersama MQ Technology Bhd akan bekerjasama menguruskan pasukan Kelantan pada saingan Liga Malaysia musim depan.

“Selain itu, MQ Technology turut menyalurkan dana RM3 juta kepada syarikat terbabit sebagai modal permulaan.


PASUKAN Kelantan yang beraksi dalam Liga Perdana musim ini. — FOTO Fathil Asri

“KAFA memegang sebanyak 30 peratus saham dalam The Red Warriors Sdn Bhd, manakala 70 peratus lagi dipegang MQ Technology,” katanya pada sidang media selepas majlis MOU di Kota Bharu, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Pengarah Eksekutif MQ Technology, Tong Sian Shyen sambil disaksikan oleh kepimpinan Exco KAFA.

MOU itu bagaikan durian runtuh buat The Red Warriors yang berdepan kemelut kewangan sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 7:27 PM