IVAN (kanan) dan Sivasangari tampil sebagai juara bertahan kali ini. — FOTO Muhd Zaaba Zakeria
BERNAMA

JUARA bertahan, Ivan Yuen memulakan usaha mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Kebangsaan dengan mudah selepas melangkah ke suku akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Pilihan kedua yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama, tidak perlu bekerja keras untuk menewaskan pilihan 9/16, Muhammad Hafiz Zharifi Abd Harif 11-3, 11-3, 11-4 pada pusingan kedua.

Pilihan utama Ng Eain Yow juga melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pemain pilihan 17/21 Muhammad Aqif Ampandi 11-4, 11-5, 11-5.

Pemain kelahiran Malaysia, Sanjay Jeeva yang kini melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat melakukan kejutan selepas mengalahkan pemain kebangsaan yang juga pilihan ketiga-empat Muhammad Syafiq Kamal 11-7, 4-11, 11-7, 6-11, 12-10.

Dalam kategori wanita, juara bertahan S Sivasangari melangkah ke suku akhir dengan menewaskan pemain pilihan 9/16 Teoh Liyen 11-6, 11-2, 11-5.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 12:38 AM