YUSRY. Foto semuanyabola.com
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara sedia memberi peluang buat pemain muda Sarawak, Mohd Yusry Haziq Idris mencuba nasib bersama pasukan itu.

Pengurus skuad B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, beliau akan berbincang dengan pengendali pasukan, Brad Maloney sebelum memanggil pemain yang digelar ‘Neymar Sarawak’ itu.

“Saya akan cuba bincang dengan Maloney. Kita tengok... kita cuba tengok dan jika dia menepati standard, sudah tentu kita akan ambil,” katanya yang menggantikan Datuk Ab Ghani Hassan.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Yusry yang berkelana selama dua tahun di England, sedia untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas pulang ke tanah air 30 Jun lalu.

Beraksi di posisi serangan dan tengah, dia adalah salah seorang daripada dua pemenang Program Million Dollar Feet (MDF) yang diasaskan legenda Liverpool, Steve McMahon pada 2016.

Atas bakat istimewa dimilikinya, dia dibawa ke Leicestershire, England dan ditempatkan di Brooke House College Football Academy mulai September 2017 hingga kontraknya tamat, Jun lalu.

Menerusi latihan intensif selama dua tahun itu, Yusry bukan saja didedahkan dengan pelbagai ilmu bola sepak, malah dia turut berpeluang beraksi bersama kelab ternama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:01 AM