PENG Soon (kiri) dan Liu Ying layak ke separuh akhir Terbuka Indonesia. — FOTO Syarafiq Abd Samad
Saiful Affendy Sapran


SORAKAN padu penyokong tuan rumah di Istora Gelora Bung Karno tidak melunturkan semangat beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila mereka mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia dengan menyingkirkan Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow pada suku akhir di Jakarta, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang tampil sebagai pilihan kelima, terpaksa berhempas-pulas selama sejam sebelum menewaskan lawan mereka 21-11, 14-21, 21-14.

Liu Ying berkata, bukan mudah untuk menundukkan pasangan tuan rumah terutama Tontowi yang sudah masak dengan corak permainan mereka.

“Secara keseluruhan saya amat puas hati dengan prestasi kami hari ini. Tapi sebenarnya bukan mudah apabila bertemu mereka sebab Tontowi tahu cara permainan kami,” kata Liu Ying ketika dihubungi.


SOON Huat (kanan) dan Shevon terkandas di suku akhir. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Peng Soon pula mengakui dia dan Liu Ying gagal beraksi dengan baik pada set kedua.

“Kami banyak melakukan kesalahan mudah tapi pada set penentuan kami menemui semula rentak dan menggunakan segala taktikal untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Pada separuh akhir esok, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan bertemu pilihan kedua kejohanan, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

Gandingan China itu menewaskan beregu negara Goh Soon Huat-Shevon Lai 21-4, 21-15 pada suku akhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 7:28 PM