BERNAMA

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul satu-satunya pasukan dalam negara menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menjuarai Liga Super enam kali berturut-turut.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim pada majlis di Dataran Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kehormat PBNJ, Kapten Mohd Anizam Jamian; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Mengikut rekod, JDT memenangi kejuaraan Liga Super buat kali pertama pada 2014 diikuti pada 2015, 2016, 2017, 2018 dan tahun ini.

Tahun lalu, kelab itu turut menerima empat pengiktirafan daripada MBOR iaitu antaranya menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada 2015.

Pengiktirafan juga diberi kerana kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sejak 2013 selain tanpa kalah dalam semua perlawanan liga pada 2016.


ISMAIL (empat kiri) menerima sijil MBOR daripada Christopher (empat kanan) di Dataran Bandaraya MBJB. — FOTO Mohd Azren Jamaludin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 7:50 PM