LEANDRO (kanan) menanduk masuk gol kemenangan mengatasi penjaga gol Chelsea, Willy Caballero di Stadium Antarabangsa Yokohama, hari ini. — FOTO AFP
AFP

JUARA Liga-J, Kawasaki Frontale mencipta kemenangan mengagumkan 1-0 ke atas Chelsea pada perlawanan persahabatan pramusim di Yokohama, hari ini.

Penyerang Kawasaki, Leandro Damiao menanduk masuk hantaran silang Kengo Nakamura dari jarak dekat pada minit ke-87 untuk melakar kejutan di depan 61,012 penonton.

Chelsea bergelut untuk mencari gol walaupun mengasak sepanjang masa dengan pemain Kawasaki terlalu berhati-hati bertahan, terutamanya sebelum rehat.

Perjalanan jauh dan bahang panas di Jepun pada awal pramusim mencetus “kesukaran buat kami secara fizikal”, kata jurulatih Chelsea, Frank Lampard.

“Kualiti pemain kami bersama bola tidak seperti yang diharapkan. Ia memang biasa pada pramusim. Saya tidak bimbang. Saya gembira dengan sebahagian besar persembahan mereka.”

Chelsea mengadakan jelajah pramusim di Jepun dan akan menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona di Saitama, utara Tokyo, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:21 PM