WENDY beraksi pada final 3m papan anjal di Gwangju, hari ini. — FOTO AFP
Aida Adilah Mat


PENERJUN negara Wendy Ng menamatkan saingan di tangga kesembilan acara final 3 meter papan anjal individu wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Gwangju, Korea Selatan, hari ini.

Biarpun pulang tanpa sebarang pingat, namun Gwangju meninggalkan kenangan manis buat Wendy apabila muncul antara atlet terjun terawal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Wendy menamatkan cabaran di kedudukan kesembilan selepas mengumpul 282.40 mata dalam acara yang menyaksikan penamat satu-dua penerjun China.

Shi Tingmao mempamerkan terjunan konsisten sekali gus mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu di Budapest apabila mengumpul 391 mata manakala rakan senegaranya Wang Han 372.85 mata untuk perak dan gangsa milik Maddison Keeney dari Australia dengan 367.05 mata.


PANDELELA (kiri) dan Mun Yee sumbang pingat tunggal negara pada Kejohanan Akuatik Dunia di Gwangju. — FOTO AFP

Bagi Wendy, melayakkan diri ke Tokyo cukup untuk membuatkan dia tersenyum bangga.

“Tiada apa boleh dikatakan lagi, ia sesuatu yang cukup indah untuk saya dapat layak ke Olimpik buat kali ketiga selepas London dan Rio.

“Dengan apa yang saya lalui, layak ke Olimpik memberikan saya satu kepuasan tidak terhingga,” katanya.

Selain Wendy, Malaysia turut meraih dua lagi slot ke Tokyo 2020, apabila gandingan Pandelela Rinong-Leong Mun Yee meraih tiket pertama menerusi acara 10m platform seirama wanita.

Pandelela turut meraih tiket menerusi acara 10m platform individu.

Malaysia menamatkan kempen kejohanan dunia dengan satu perak menerusi Pandelela-Mun Yee dalam 10m platform seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:34 PM