CABARAN Zii Jia berakhir di tangan Antonsen. — FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran


HASRAT untuk melihat pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia meneruskan kemaraan pada Terbuka Indonesia berkubur selepas dia tewas di tangan Anders Antonsen pada suku akhir di Jakarta, malam ini.

Zii Jia yang mengejutkan jaguh China, Chen Long pada pusingan kedua semalam, tidak mempunyai jawapan menafikan kemenangan lawannya dari Denmark itu 21-16, 21-11 dalam tempoh 49 minit di Istora Gelora Bung Karno.

Terdahulu dua beregu campuran negara meneruskan kemaraan ke separuh akhir esok selepas menewaskan lawan masing-masing pada suku akhir.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara selepas menewaskan gandingan suami isteri dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock 21-15, 14-21, 21-15.

Mereka akan bertemu pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut cemerlang apabila menyingkirkan pasangan tuan rumah, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow 21-11, 14-21, 21-14.

Pada separuh akhir esok, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan bertemu satu lagi beregu China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, pilihan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 11:55 PM