PEMAIN Algeria meraikan kejayaan muncul juara Piala Negara Afrika. - FOTO Agensi
AFP

JARINGAN awal Baghdad Bounedjah membolehkan Algeria menjulang trofi Piala Negara Afrika kali pertama dalam masa 29 tahun selepas menewaskan Senegal 1-0 di Kaherah, awal pagi tadi.

Bola tendangan Bounedjah pada minit kedua terkena pertahanan lawan dan melambung melepasi penjaga gol Senegal, Alfred Gomis sudah cukup untuk juara 1990 itu merangkul pertama di luar negara mereka.

"Menakjubkan. Kemenangan ini untuk seluruh negara," kata penjaga gol Algeria, Rais M'Bolhi. “Kami perlu berterima kasih kepada jurulatih, Djamel Belmadi. Keadaan sangat sukar sebelum kedatangannya.”

Senegal yang tewas dengan jaringan sama kepada Algeria pada peringkat kumpulan terus kemarau trofi benua selepas jurulatih mereka, Aliou Cisse yang menjadi kapten pasukan pada final 2002 hanya muncul naib juara.

"Kami melepaskan jaringan awal dan kami sepatutnya boleh menyamakan kedudukan tetapi ia tidak berlaku,” kata Cisse.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pemain. Kami sudah lama bekerjasama untuk hadapi kejohanan ini tetapi malam ini tidak seperti diharapkan.”

Dengan bintang pertahanan mereka, Kalidou Koulibaly tidak beraksi selepas digantung satu perlawanan, Salif Sane mengambil alih tugas di bahagian belakang dan Ismaila Sarr ditugaskan di bahagian serangan manakala Belmadi mengekalkan barisan yang sama ketika menewaskan Nigeria pada aksi kumpulan.

Senegal jelas bergelut di bahagian pertahanan tanpa bintang Napoli, Koulibaly dan Sane tidak bernasib baik apabila bola tendangan Bounedjah dari sebelah kanan terkena badannya dan menerjah ke gawang sendiri tanpa mampu diselamatkan Gomis.

Jaringan itu yang pertama dilepaskan Gomis sepanjang 400 minit di Mesir selepas menggantikan Edouard Mendy yang mengalami kecederaan menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 7:19 AM