Skip this ad x
BELMADI dijulang pemainnya selepas tamat aksi final di Stadium Antarabangsa Kaherah. - FOTO Reuters
AFP

JURULATIH Algeria, Djamel Belmadi memuji kejayaan pasukannya menjuarai Piala Negara Afrika kali pertama sejak 1990 apabila menewaskan Senegal 1-0 di Kaherah, awal pagi tadi.

Jaringan Baghdad Bounedjah pada minit kedua melengkapkan kebangkitan Algeria yang sebelum ini tersingkir di peringkat kumpulan pada 2017 dan aksi buruk saingan kelayakan 2018.

"Saya sangat gembira. Negara dan penyokong kami sudah lama menunggu kejayaan ini,” kata Belmadi.

"Trofi ini yang pertama di luar negara kami. Amat mengagumkan terutamanya apabila anda melihat daripada kami datang sebelum ini.”

Bekas pemain Algeria, Belmadi dilantik pada Ogos lalu selepas lapan tahun menjadi jurulatih di Qatar dan beliau mewarisi skuad berbakat tetapi tiada persefahaman.

"Saya mengambil alih pasukan berdepan masalah prestasi tetapi kami berjaya mengubah nasib dan muncul kuasa Afrika dalam masa 10 bulan, satu pencapaian luara biasa,” katanya.

"Saya rasa letih dan sukar menampakkan emosi ini tetapi ia akan menjejaskan kami jadi apabila ada peluang kami akan berehat.”

Jurulatih Senegal, Aliou Cisse kecewa dengan kegagalan pasukannya bangkit daripada ketinggalan gol awal sekali gus kempunan meraih trofi pertama kejohanan itu.

Singa Teranga itu hadir ke Mesir dengan reputasi salah satu kuasa besar Afrika tetapi hanya mampu menjadi naib juara kali kedua.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menembusi gawang lawan,” kata Cisse yang pasukannya turut tewas 1-0 kepada Algeria dalam saingan kumpulan.

"Apabila anda melepaskan gol awal anda perlu lebih menyerang pertahanan yang lebih agresif tetapi kami gagal melakukannya.”

Cisse yang menjadi kapten ketika tewas pada final 2002 mula mengendalikan pasukan itu sejak awal 2015 enggan membicarakan masa depannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 8:42 AM