KAMIL (kanan) dan Shahril memegang trofi kejohanan.
Meor Riduwan Meor Ahmad


PEMAIN bola sepak akar umbi bawah 14 tahun di negara ini memiliki platform baru untuk mengetengahkan bakat dengan wujudnya liga swasta dikenali Liga Antara Kelab Bola Sepak (ICFL).

Liga itu bakal dianjurkan 8ightplus Malaysia iaitu pengedar gelang tangan hologram (produk akuapuntur tanpa jarum dari Korea Selatan) bermula September hingga November depan.

Sebelum ini antara liga memfokuskan pemain bawah 14 tahun termasuk Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia Bawah 14, Kem Bola Sepak Junior Allianz (AJFC) dan Liga 1Malaysia Connecting Communities (1MCC) selain skuad elit di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif 8ightplus Malaysia merangkap Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berkata, liga itu bertujuan memperkasa bola sepak Malaysia dengan mencungkil dan membimbing pemain bagi membentuk pasukan negara melalui program liga bawah 14 tahun.

"Mereka ini tidak terlalu muda dan masih boleh belajar sesuatu, mendisiplinkan diri, bermain dan mengetengah bakat masing-masing.

"Setiap pasukan akan bertanding dalam prakelayakan pada 27 Julai ini bagi menempah tempat ke ICFL dijangka pada September hingga November depan membabitkan 16 pasukan. Setakat ini 12 pasukan sah akan bertanding," katanya pada sidang media pelancaran liga berkenaan semalam.

Pada majlis sama diadakan undian bagi 12 pasukan yang bertanding pada pra kelayakan serta pengenalan bekas pemain kebangsaan, Shahril Arsat sebagai ikon ICFL.

Kamil berkata, pihaknya merancang liga itu dijadikan acara tahunan bagi melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berbakat yang mampu mewakili negara.

"Kita tidak akan mensia-siakan bakat pemain yang dipilih dan akan membimbing mereka dalam tempoh tiga tahun untuk bermain bagi pasukan bawah 17,18 tahun," katanya.

Perlawanan kelayakan itu turut menyediakan hadiah wang tunai bagi juara hingga tempat keempat antara RM1,000 hingga RM500 berserta piala, medal dan hamper.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 10:40 AM