SKUAD Kedah tak rela tempat ketiga terlepas daripada genggaman.
Izzali Ismail

USAHA memburu tiga mata untuk kekal di tempat ketiga menjadi percaturan utama ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak pada aksi terakhir Liga Super menentang FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok. Menurut Aidil, beliau tetap akan membarisi skuad terbaik walaupun dalam masa sama mempersiapkan pasukan untuk menghadapi perlawanan akhir Piala FA hujung bulan ini.

"Saya tidak merancang menurunkan skuad kedua, malah saya mahu barisan terbaik untuk aksi penting di Jengka bagi mengutip tiga mata dan menamatkan kedudukan di tempat ketiga.

"Tambahan lagi saya tidak mahu menghampakan penyokong yang bersusah payah datang memberi sokongan dari jauh tanpa menyaksikan aksi terbaik Kedah.”

Pada masa sama Aidil tetap mahu pemainnya lebih waspada dengan percaturan The Fighters yang mahu menjadikan menjadikan perlawanan mementang Kedah itu 'talian hayat' terakhir untuk mengelak zon penyingkiran.

Dalam perkembangan sama, Aidil turut memaklumkan Kedah terpaksa melupakan khidmat pemain import dari Singapura, Shakir Hamzah yang menjalani penggantungan kad kuning.

"Ketiadaan Shakir akan memberi kesan namun saya yakin gandingan pemain yang akan dipilih juga mampu memberi persefahaman yang baik dengan barisan sedia ada."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:08 PM