RAFIQ bersama trofi Terbuka Hong Kong. — FOTO Terence Yaw ABF
Nor Hairulnizam Wahid


JAGUH boling negara Rafiq Ismail bagaikan sudah menemui rentak kejuaraannya apabila memenangi kejuaraan Terbuka Antarabangsa Hong Kong hari ini.

Bagaimanapun ia bukan laluan mudah buat juara dunia itu apabila perlu mengatasi cabaran rakan senegara Ahmad Muaz Fishol pada final stepladder Masters lelaki 236-244, 223-174.

Turut cemerlang Nur Amirah Auni Azman yang muncul naib juara Masters wanita.

Ia kejuaraan ketiga diraih Rafiq dalam tempoh sebulan bermula dengan menjuarai Terbuka Antarabangsa Singapura akhir Jun lalu sebelum meraih gelaran Masters Boling Jelajah Eropah (EBT) di Madrid seminggu kemudian.


RAFIQ (tengah) bersama Muaz (kiri) dan Nur Amirah memperagakan trofi yang dimenangi di Hong Kong hari ini. — FOTO Terence Yaw ABF

“Saya gembira, tiga gelaran dalam sebulan!” kata Rafiq ketika dihubungi.

Menceritakan pertemuan menentang juara Terbuka Malaysia, Muaz pada final stepladder, Rafiq mengakui lega bertemu rakan senegara pada perlawanan penentu kejuaraan itu.

“Kalau saya kalah sekalipun, Malaysia tetap menang.

“Saya dan Muaz berkawan rapat jadi sebelum bertemu dengannya (Rafiq mencatat skor tertinggi pada final Masters Pusingan II) saya memang berharap bertemu dengannya pada perlawanan akhir. Saya gembira dengan penyudah 1-2.”

Bagi Nur Amirah yang tewas kepada pemain Singapura, Iliya Syamin 160-215 mengakui permainannya hari ini mengubati kekecewaannya semalam.

“Alhamdulillah, game hari ini lebih baik daripada semalam, terima kasih kepada jurulatih Gerald Samuel kerana membantu saya untuk bermain lebih bagus berbanding semalam,” katanya.

“Memang saya tak mengharapkan apa-apa kerana permainan semalam agak teruk.”

Esok, enam pemain lelaki dan lima wanita akan beraksi pada Jelajah Boling Asia (ABT) Hong Kong yang mempertaruhkan 16 pemain lelaki dan wanita terbaik di Terbuka Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 9:25 PM