HAIDHIR (tengah) menjaringkan gol pertama TFC II di Kuala Terengganu. — FOTO BERNAMA
Malik Muhamad


STATUS Sabah sebagai juara Liga Perdana musim ini tercalar pada aksi terakhir liga selepas tumpas 1-2 di tangan Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Dengan kemenangan itu TFC II berjaya memperbaiki kedudukan apabila berada di tangga kelima liga manakala kedudukan Sabah tidak berubah di persada liga.

TFC II kendalian Tengku Hazman Raja Hassan yang berhajat menutup tirai liga musim ini dengan kemenangan bermula garang dan membuka tirai jaringan pada minit ke-45 apabila Haidhir Suhaini bijak meloloskan diri di dalam kotak penalti sebelum merembat kencang.

Tuan rumah kian bernafsu apabila menghasilkan gol kedua pada minit ke-54 menerusi sepakan deras pemain sayap, Ridzuan Razali dari sebelah kanan pintu gol pelawat.

Skuad kendalian Jelius Ating bagaimanapun berjaya merapatkan jurang pada minit ke-63 menerusi pemain dari Angola, Aguinaldo Veiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 12:10 AM