ALEX IWOBI
Agensi

ALEX Iwobi mengakui dia mungkin meninggalkan Arsenal jika tempatnya dirampas Wilfried Zaha.

Pemain sayap Crystal Palace bernilai £80 juta (RM411.6 juta) menjadi sasaran nombor satu Gunners sebelum jendela perpindahan berakhir pada 8 Ogos ini.

Iwobi memberi amaran: “Saya bukan pengecut. Saya sudah melaluinya bertahun lama, saya diberitahu tidak cukup bagus.

“Jadi apabila peluang tiba saya sentiasa cuba dan membuktikan saya mampu menjadi kesebelasan utama namun ia akan menjadi lebih sukar jika Zaha datang. Dia akan mendatangkan lebih banyak tekanan.

“Saya sedia berjuang tetapi satu-satunya ketika apabila saya mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab adalah jika saya tidak bermain sebanyak yang saya inginkan.

“Jelas sekali, kegembiraan saya adalah bermain bola sepak dan tidak hanya berdiam diri.

“Jika perkara itu berlaku, saya tiada pilihan selain meninggalkan kelab. Namun saya sentiasa sedia berjuang untuk mendapat tempat, itulah yang saya lakukan sepanjang hayat.

“Kami mempunyai ramai pemain bintang, jadi dengan menambah seorang lagi, saya hanya perlu buktikan saya boleh menjadi lebih baik daripada mereka.”

Pengurus Arsenal Unai Emery dijangkakan mendapatkan ‘tiga atau empat pemain mahal’ sebelum jendela ditutup.

Zaha, pemain sayap Ivory Coast memberitahu Palace dia mahu menyertai Arsenal yang turut dikaitkan dengan dua lagi pemain sayap di Barcelona Malcom dan juara Copa America dari Brazil Everton Soares.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 9:45 AM