EDDIE Nketiah jaring dua gol ketika berdepan Fiorentina. -Foto AFP
AFP

PEMAIN muda Eddie Nketiah meledak tiga gol dalam dua perlawanan selepas meledak dua gol awal pagi ini yang memastikan Arsenal menang ke atas Fiorentina 3-0 dalam aksi persahabatan pra-musim di Carolina Utara.

Penyerang berusia 20 tahun itu yang menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum tamat perlawanan ketika menewaskan Bayern Munich Khamis lalu, meneruskan rentaknya dengan jaringan pada minit ke-15 dan 66

Joseph Willock menyempurnakan kemenangan itu dengan jaringan untuk keputusan 3-0 pada minit ke-89.

Fiorentina sepatutnya memberikan cabaran buat Gunners tetapi mereka terlepas beberapa peluang pada separuh masa pertama selain aksi cemerlang Emi Martinez di depan gawang Arsenal.

Nketiah mempamerkan sentuhan berbisanya dengan meletakkan Arsenal di depan 1-0 apabila menyambut hantaran rendah Sead Kolasinac melepasi pertahanan dan melakukan rembatan dengan kaki kanan.

Dia berada di kedudukan terbaik pada minit ke-66 untuk merembat hantaran Alexandre Lacazette berpunca gerakan menarik dari sebelah kiri oleh Henrikh Mkhitaryan.

Kemenangan di depan 34,902 penyokong di Bank of America Stadium di Charlotte menjadikannya tiga kemenangan dalam tiga perlawanan Arsenal dalam jelajah yang bermula dengan keengganan kapten Laurent Koscielny menyertai jelajah kerana mendesak mahu meninggalkan kelab itu.

Pada awal pagi Rabu, anak buah Unai Emery akan menentang Real Madrid di FedEx Field, yang menjadi laman pasukan NFL, Washington Redskins.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 10:01 AM