EDEN HAZARD
AFP

BAYERN Munich ‘mencacatkan’ penampilan sulung Eden Hazard di Real Madrid apabila membenam jaguh Sepanyol itu 3-1 dalam aksi persahabatan di Houston pagi ini dengan penjaga gol Sven Ulreich dibuang padang.

Corentin Tolisso, Robert Lewandowski dan Serge Gnabry memberikan juara Bundesliga Bayern gol selesa 3-0 sebelum pendatang baharu Real Madrid Rodrygo meraih gol saguhati hasil sepakan percuma yang menakjubkan.

Ia berlaku selepas Ulreich dibuang padang pada minit ke-81 kerana mengasari pemain remaja Brazil itu.

Rodrygo, Luka Jovic dan Ferland Mendy masing-masing membuat penampilan sulung untuk skuad baharu Real Madrid, kesemuanya dimasukkan pada separuh masa kedua selepas Zinedine Zidane merombak keseluruhan pasukannya.

Penampilan sulung Hazard dengan jersi Madrid sejak pembelian bernilai tinggi dari Chelsea mendominasi tajuk berita.

Namun meskipun diberi peluang beraksi, dia kurang memberi impak di Stadium NRG, laman pasukan NFL Houston Texans, di mana skuad gergasi Eropah itu menghasilkan permainan bertenaga sejak sepak mula.

Sebaliknya, ia mengetengahkan aksi menakjubkan daripada penjaga gol Bayern Manuel Neuer untuk mengekang asakan Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 11:39 AM