MANNY Pacquiao (kiri) ketika menewaskan Keith Thurman. FOTO AFP
AFP

MASA mungkin tidak boleh dikalahkan, tetapi Manny Pacquiao tidak akan tunduk tanpa bertarung.

Legenda Filipina berusia 40 tahun itu melakar satu lagi catatan hebat dalam karier gemilangnya semalam dengan kemenangan ke atas Keith Thurman yang sebelum ini tidak pernah dikalahkan.

Paquiao, genap sedekad lebih tua daripada Thurman yang berusia 30 tahun itu, membuktikan pengalaman luasnya menerusi aksi vintaj yang membuatkan penyokong di MGM Grand Garden Arena menjerit kegembiraan.

Ia adalah kemenangan ke-62 buat peninju Filipina itu daripada 71 pertarungan membabitkan tempoh 24 tahun.

Kalangan veteran di gelanggang menganggap persembahan itu adalah antara yang terbaik daripada Pacquiao sejak menewaskan Antonio Margarito pada 2010.

Thurman, yang kembali bertinju pada Januari selepas berehat selama 22 bulan, mengakui tidak mampu menangani tenaga luar biasa Pacquiao.

Statistik selepas perlawanan menunjukan Pacquiao melakukan tumbukan ke atas Thurman, 686 berbalas 571.

Thurman selepas perlawanan itu berkata dia cuba mengejar lawan sebaik dia ditumbangkan menerusi serangan seawal pusingan pertama.

“Dia mempunyai banyak momentum bermula detik itu,” kata Thurman.

“Saya pula memberi tumpuan terhadap jumlah pusingan. Sebaik kami ke pusingan ketujuh, saya berkata ‘Aduh, kami sudah di pusingan ketujuh’.”

Pengalaman Pacquiao terbukti penting pada saat-saat genting, kata Thurman.

“Dia mengharungi banyak pertarungan, dia tahu apa yang perlu dilakukan pada masa yang tepat.

“Saya mempunyai kem latihan yang bagus tetapi saya rasa saya perlukan hasil yang baik untuk menandingi Manny Pacquiao yang tidak membuang masa untuk meminta perlawanan ulangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 9:44 AM