GARETH Bale. FOTO REUTERS
Agensi

PENGENDALI Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino tidak pasti jika Spurs cuba mendapatkan kembali Gareth Bale dari Real Madrid pada perpindahan musim panas ini.

Pochettino ditanya mengenai Bale selepas Tottenham menewaskan Juventus 3-2 pada Piala Juara-Juara Antarabangsa awal pagi tadi.

“Pada ketika ini saya tidak mendapat sebarang maklumat daripada pengerusi. Saya tidak tahu sama ada kami mahu mendapatkannya atau mungkin kelab lain.

“Saya ada terbaca di media tetapi tidak tahu kelab mana mahu mendapatkannya. Saya tidak tahu sama ada kami atau kelab lain. Adalah menjadi tugas pengerusi untuk membentuk kelab yang lebih baik,” katanya.

Pengurus Real Madrid Zinedine Zidane berkata kelab itu berharap pemain Wales itu segera meninggalkan mereka.

Bale menyerlah sepanjang enam tahun bersama kelab London utara itu sebelum melengkapkan perpindahan ke Real Madrid pada 2013.

Spurs adalah antara kelab yang dikaitkan dengan pemain berusia 30 tahun itu dan bersedia membayar €60 juta (RM276.9 juta) untuk Bale tetapi hanya mampu membayar separuh daripada gajinya sekarang.

Beijing Guoan pula dikatakan mampu membayar £600,000 (RM2.76 juta) seminggu atau lebih untuk menjadikannya pemain dengan bayaran tertinggi dalam bola sepak China.

Bagaimanapun Bale tidak berminat untuk ke China dan ini membuka pintu buat Paris Saint Germain.

Juara Perancis itu membayangkan kemungkinan melakukan pertukaran pemain membabitkan Neymar.

Karier Bale di Real Madrid terjejas akibat kecederaan tetapi tidak syak lagi dia adalah antara penyerang terbaik dan berpengalaman luas di Eropah.

Dia mungkin tiada dalam perancangan Zidane di Real Madrid dan kemungkinan besar meninggalkan kelab itu pada musim panas.

Bagaimanapun kepulangan ke pangkuan Spurs mungkin satu kejutan melainkan jika persetujuan boleh dicapai membabitkan gajinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:26 AM