MANCHESTER United semakin hampir untuk mendapatkan Harry Maguire selepas dilaporkan bersetuju dengan bayaran £80 juta (RM411.6 juta). FOTO Reuters
Agensi

MANCHESTER United semakin hampir untuk mendapatkan Harry Maguire selepas dilaporkan bersetuju dengan bayaran £80 juta (RM411.6 juta) diletakkan Leicester untuk pertahanan itu.

Bek tengah Foxes itu berada dalam senarai pemain buruan Red Devils sepanjang musim panas dan bidaan awal United terhadap pemain England itu pernah ditolak.

Menurut laporan media, syarat perpindahan Maguire ke Old Trafford dengan bayaran £80 juta sudah pun dipersetujui dan perpindahan itu pasti berlaku.

Sekiranya United menandatangani pembelian Maguire pada harga £80 juta, pembelian mereka musim panas ini hanya berada di bawah paras £150 juta (RM771.8 juta) susulan ketibaan Daniel James dari Swansea dan Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace.

Sabtu lalu Brendan Rodgers mengakui tiada perubahan berhubung pendirian Leicester terhadap tawaran itu.

Kata pengurus Foxes itu: “Masih ada masa lagi, anda tidak tahu apa kan berlaku terhadap semua pemain tetapi pada ketika ini, ini adalah pemain berkelas tinggi yang akan menyebabkan kelab lain berbelanja besar untuknya.

“Untungnya kami berada dalam kedudukan di mana kami tidak terdesak menjual pemain.

“Kami tidak mahu menjualnya. Dia pemain yang istimewa. Permainannya sesuai dengan kehendak pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:52 AM