Kaimbi (jersi kuning) meledak gol ketika menewaskan Melaka di Kuantan. FOTO BERNAMA


SENTUHAN berbisa pemain Namibia, Lazarus Kaimbi terus ditagih skuad Pahang bagi menghadapi kempen Piala Malaysia bulan depan.

Tiga gol dalam dua perlawanan berturut-turut diharapkan memberi motivasi terbaik kepada Kaimbi bagi membantu skuad Tok Gajah merampas kembali Piala Malaysia yang kali terakhir didakap pada 2014.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh gembira dengan kesungguhan yang dipersembahkan penyerang berumur 31 tahun itu.

"Saya akui Kaimbi sudah membuktikan keupayaannya selaku penyerang selepas menyertai skuad ini pada jendela perpindahan kedua.

"Dengan pencapaian itu, saya harap dia dapat meneruskan sentuhan gol selepas tidak begitu cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Kaimbi sentiasa bekerja keras membantu pasukan dan usaha itu ternyata berhasil terutamanya digandingkan bersama Dickson Nwakaeme di bahagian serangan," katanya.

Pada jendela perpindahan kedua, Kaimbi menggantikan Jose Eduardo atau Ze Love dari Brazil yang gagal mempamerprestasi membanggakan untuk memperkuatkan serangan Tok Gajah.

Dollah, bekas pemain kebangsaan berkata, Nwakaeme juga semakin menunjukkan perkembangan positif selepas pulih daripada kecederaan.

Katanya, gandingan dua penyerang itu diharap membantu memperkuatkan jentera hadapan selain dibantu bahagian tengah dan pertahanan.

"Saya harap Helmi Eliza Elias dan Mohd Faisal Rosli yang belum pulih daripada kecederaan dapat kembali menyertai pasukan menjelang saingan Piala Malaysia.

"Kehadiran mereka penting bagi memantapkan bahagian pertahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 1:02 PM