Skuad Mehmed akan berdepan Kedah pada final Piala FA. FOTO NSTP
Muhammad Apendy Issahak


PERCATURAN jurulatih pasukan Perak, Mehmed Durakovic menurunkan kesebelasan utamanya dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima teratas.

Durakovic dilihat tidak menyimpan beberapa tonggak utamanya walaupun bakal berdepan perlawanan penting final Piala FA dan menurunkan pasukan terbaiknya bagi memastikan kemenangan menentang Kuala Lumpur.

Kemenangan 2-1 ke atas pelawat membolehkan Perak berkongsi 33 mata dengan Melaka United namun berjaya memintasnya dengan perbezaan gol.

"Saya bermain untuk menang, tidak kira menentang pasukan mana maka jika pemain saya menunjukkan prestasi yang bagus maka mereka sudah pasti saya turunkan.

"Kesemua pemain bermain dengan bagus dan saya buat tiga gantian pada separuh kedua dan mereka juga bermain baik," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Durakovic berpuas hati dengan pencapaian ditunjukan pasukannya pada musim ini hingga berjaya menamatkan saingan liga di tangga kelima dan kini kini fokus menghadapi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

"Belum masanya kami berehat, pemain mungkin akan diberi rehat satu hari bagi memulihkan kecergasan dan akan memulakan latihan sebagai persiapan final Piala FA bermula Selasa ini.

"Saya mempunyai skuad terbaik saya setakat ini dan berharap kesemua mereka akan dapat diturunkan pada final itu nanti," katanya.

Jurulatih itu juga tidak risau mengenai kecederaan dialami Brendan Gan pada perlawanan itu dan yakin dia dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Kedah Sabtu ini begitu juga dengan dua importnya Leandro Dos Santos dan Hussein El Dor.

"Leandro ada sedikit kecederaan dan saya mengeluarkannya pada separuh masa kedua namun ia tidak serius manakala Hussein pula tidak diturunkan tetapi saya rasa dia akan pulih dan sedia diturunkan pada perlawanan akhir nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:17 PM