Kuala Lumpur (jersi merah) tewas kepada Perak menyebabkan tersingkir ke Liga Perdana. FOTO NSTP
Muhammad Apendy Issahak


HANYA mampu mengumpul keseluruhan 14 mata dalam saingan Liga Super musim ini, pasukan Kuala Lumpur menghuni tangga tercorot dan akur turun ke Liga Perdana musim depan.

Jurulatihnya, Rosle Md Derus nyata kecewa dengan keadaan itu namun tetap berusaha mencipta sesuatu dalam perlawanan menentang Perak di Stadium Perak malam tadi.

"Kecewa kerana kami menjangkakan boleh melakukan sesuatu malam ini, namun apakan daya dan mungkin bukan rezeki KL lagi (berada di Liga Super).

"Kami terpaksa akur dengan keadaan ini dan ia adalah satu pengajaran yang baik buat dan saya yakin kami akan bangkit kembali," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Menurutnya, pasukannya turun bermain untuk mencari kemenangan dalam misi menghidupkan peluang tidak tergelincir ke Liga Perdana musim depan dan ia memberikan tekanan kepada semua pemain.

"Perlawanan malam tadi tekanannya sangat tinggi kerana kami perlu menang dan mungkin disebabkan tekanan itulah pemain melakukan kesilapan dan kami dibolosi," katanya.

Bercakap mengenai perancangan pasukan selepas ini, Rosle menyerahkannya kepada pengurusan pasukan namun menurutnya sudah pasti mereka akan membuat persiapan bagi menghadapi Piala Cabaran dan persediaan untuk musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:39 PM