AKSI Welson ketika menyertai acara 400 meter gaya bebas semalam. - FOTO AFP
BERNAMA

SELEPAS dua hari Kejohanan Renang Dunia FINA berlangsung di Gwangju, Korea Selatan, masih tidak kelihatan kelibat perenang negara mara ke peringkat seterusnya di kejohanan berprestij itu.

Perenang negara seperti Tern Jian Han, Welson Sim dan Phee Jinq En gagal menyerlah pada aksi saringan masing-masing di Nambu International Aquatics Centre, pagi tadi.

Jaguh renang negara, Welson mencatat 1 minit 48.61 saat untuk berada di kedudukan kelapan dalam saringan kelima dan menempatkan diri di tangga ke-29 daripada 65 perenang keseluruhan pada acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki.

Seorang lagi wakil negara, Jian Han yang bertanding dalam acara 100m kuak lentang lelaki berada di kedudukan kelapan dalam saingan ketiga dengan catatan 57.34s untuk berada di ranking ke-48 keseluruhan.

Dalam acara 100m kuak dada wanita, Jinq En pula berakhir di kedudukan ke-27 keseluruhan walaupun pada saingan ketiga muncul sebagai perenang kedua terpantas dengan merekodkan masa 1:09.05s.

Hanya 18 perenang terbaik daripada keseluruhan dipilih ke pusingan separuh akhir setiap acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:32 PM