MESSI berminat menghabiskan kariernya bersama Barcelona.
Agensi

BARCELONA dijangka berunding dengan Lionel Messi untuk melanjutkan kontrak penyerang itu sehingga 2023, menurut sumber kepada ESPN FC.

Kontrak Messi, 32, kini memasuki dua tahun terakhir dan Barca mahu memastikan dia kekal di Camp Nou melepasi 2021 sekali gus kontrak ke-10nya bersama Catalan sejak 2004.

Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu akan mengetuai rundingan dengan ayah Messi, Jorge yang juga ejennya.

Klausa dalam kontrak Messi membolehkan perjanjian itu dilanjutkan 12 bulan lagi sehingga 2022 tetapi Bartomeu mahu perjanjian baharu yang mengikat Messi lebih empat tahun sehingga dia berumur 36 tahun.

Bartomeu tahu tarikan Messi bukan setakat kewangan dan berharap dapat menyediakan skuad terbaik yahg mampu merampas trofi Liga Juara-Juara yang pertama sejak 2015.

Presiden Barca memberitahu ESPN FC pada April lalu dia pernah berhasrat menawarkan Messi kontrak seumur hidup walaupun kontrak sekarang tamat 2021.

Kali terakhir Messi memperbaharui kontrak pada 2017 walaupun tercetus spekulasi masa depannya apabila dia bebas berpindah ketika kontraknya memasuki 12 bulan terakhir.

Messi sebelum ini kerap menegaskan dia berhasrat menamatkan kariernya bersama Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 7:19 PM
Skip this ad x