POGBA diasak empat pemain Inter Milan di Singapura, kelmarin. - FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba mempunyai pengaruh positif dalam bilik persalinan dan perlu dikekalkan bagi membantu pasukan membawa kembali trofi ke Old Trafford, menurut rakan sepasukan, Juan Mata.

Bulan lalu, Pogba berkata dia mahu mencari cabaran baharu selepas tiga tahun bersama United sementara ejennya memberitahu The Times pemain berusia 26 tahun itu berhasrat meninggalkan kelab itu ketika spekulasi mengaitkannya dengan Juventus dan Real Madrid.

Bagaimanapun, Mata mahu masa depan Pogba termasuk memenangi trofi utama kempen 2019-20 selepas kali terakhir menjulang trofi Liga Europa pada Mei 2017.

"Semua orang kenal Paul seorang pemain tengah fantastik, sangat baik, positif dan miiki pengaruh baik kepada setiap orang, “ kata Mata kepada Sky Sports.

"Sebagai rakan sepasukan dan kawan, saya berharap dia kekal dan gembira kerana dia pemain sangat bagus kepada kami.

"Kami tahu kami perlu mencipta keputusan lebih baik musim ini. Kelab ini menang lebih trofi berbanding kelab lain di England dan kami mahu sekali lagi menjulang trofi lebih besar.”

United menyasarkan kedudukan lebih baik berbanding tempat keenam dalam Liga Perdana musim lalu dan ketinggalan 32 mata di belakang musuh setempat, Manchester City.

Mata setuju melanjutkan kontrak bersama United bulan lalu dan rakan sepasukan dari Sepanyol, penjaga gol David de Gea hampir pasti memperbaharui kontrak jangka panjang, menurut laporan media Britain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:41 PM