WEI Ying tewas di tangan pemain Taiwan.

PEMAIN perseorangan wanita, Boon Wei Ying terpaksa akur dengan kehebatan pilihan utama hingga kelapan, Shen Yan Ru dari Taiwan apabila kalah 20-22, 16-21 dan hanya berpuas hati dengan meraih gangsa di Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia 2019, hari ini.

Kemaraan anak jati Melaka berusia 24 tahun yang tidak dilabel pilihan ini tetap dianggap membanggakan negara malah dia memberikan tentangan hebat sekali pun berdepan pemain tuan rumah dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Taipei, Taiwan itu.

Pingat gangsa di kejohanan edisi kelima itu adalah pencapaian kedua terbaik Wei Ying selepas merangkul perak beregu campuran di Sukan Deaflympic di Samsun, Turki, dua tahun lalu. Terdahulu dia mengatasi seorang lagi pemain tuan rumah, Tu Wen Hsuan 21-15, 21-6 di suku akhir.

Sebelum itu dia menumpaskan Jerlin Jayaratchagan (India) pada pusingan ketiga 21-19, 21-15 dan Sophie Bula (Switzerland) 21-6, 21-6 di pusingan kedua.

Rakan senegara Wei Ying, Foo Zu Tung pula terkandas seawal pusingan kedua apabila tumpas di tangan Olga Dormidontova dari Rusia 14-21, 21-15, 13-21.

Semalam, gandingan mereka juga disekat beregu wanita tuan rumah, Fan Jung-Yu dan Shjen Yan-Ru 15-21, 21-17, 19-21 di suku akhir.

Pusingan pertama menyaksikan beregu negara yang dibimbing bekas pemenang emas Sukan SEA 2009, Sabrina Chong menang 21-14, 21-12 ke atas pasangan Turki, Hale Nur Kucuksevgili-Gizem Nur Uludag.

Mereka juga muncul naib juara liga Kumpulan C dengan mengalahkan Jayasri Nalluri Neethu-Udayakumar Vijayakumari (India) 21-7, 21-4 namun tewas kepada Manami Nagahara-Chihiro Numakura dari Jepun, 17-21, 21-18, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:15 PM