AMIRUDIN bergambar bersama sebahagian atlet di Stadium UiTM Shah Alam. - FOTO Roslin Mat Tahir
Ruwaida Md Zain

KARNIVAL Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) kali ke-11 2019 yang dibuka secara rasmi malam ini disertai 5,000 atlet dan pegawai, membabitkan 63 agensi kerajaan menganggotai Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) bermula pada 19 hingga 26 Julai ini.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emiratus Dr Mohd Azraai Kassim berkata, penganjuran karnival itu bukan sahaja menjadi medium kepada amalan gaya hidup sihat bahkan dapat memupuk ukhwah yang baik dalam kalangan atlet.

"Saya harap hubungan baik dapat dipanjangkan selepas berakhirnya kejohanan. Semangat dan budaya kerja secara berpasukan dilihat sebagai satu ruang kepada atlet untuk membina sahsiah diri yang lebih baik dan seterusnya membantu mencapai matlamat organisasi.

"Terima kasih kepada semua ketua agensi atas sokongan padu kerana menghantar kontinjen untuk bertanding di Karnival Sukanun 2019 pada kali ini.

"Saya berdoa semoga Karnival Sukanun kali ini akan berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT. Kepada atlet bertanding saya ucapkan selamat bertanding dan semoga berjaya. Pesan saya kepada atlet semua agar bertandinglah secara positif dan sihat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian SUKANUN oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di Stadium UiTM Shah Alam, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed merangkap Timbalan Yang Dipertua PBBM dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Haris Kasim.

Mohd Azraai merangkap Yang Dipertua PBBM turut mengalu-alukan semua ketua eksekutif atau wakil, ketua kontinjen dan atlet SUKANUN 2019.

Kejohanan dwi-tahunan kali ini adalah penganjuran bersama Jawatankuasa Sukan dan Rekreasi PBBM dengan kerjasama UiTM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Sukan Negara (MSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Simpanan Nasional (BSN), Majlis Perbandaran Klang (MPK), MBSA dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Kejohanan anjuran PBBM dengan kerjasama UiTM, MPK, MBSA dan MPSJ bermula 19 hingga 26 Julai 2019, bertempat di Shah Alam, Klang dan Subang Jaya.

Acara dipertandingkan adalah bola sepak sembilan sepasukan (terbuka), bola sepak 9 sepasukan (veteran), bola jaring, badminton berpasukan, tenis berpasukan, golf berpasukan, catur berpasukan, bola tampar lelaki dan wanita, tenpin boling berpasukan lelaki dan wanita, futsal lelaki dan wanita, sepak takraw antara regu, boling padang lelaki dan wanita, dart berpasukan, ping-pong berpasukan, karom berpasukan, petanque terbuka, hoki sembilan sepasukan, tarik tali dan olahraga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:41 PM