ZIDANE. FOTO AFP
Reuters

KETUA jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane berkata hari ini bukannya beliau ‘tidak menghormati’ Gareth Bale tetapi kelab yang mahu menjual penyerang Wales itu, dan bukan kehendak peribadinya.

Bale tidak beraksi buat Real ketika mereka tewas 1-3 kepada Bayern Munich dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa Ahad lalu dan Zidane mendedahkan ketiadaan pemain itu disebabkan kelab itu sedang ‘berusaha untuk melepaskannya’.

Ejen Bale melabel Zidane sebagai ‘memalukan’ dalam sebuah wawancara tetapi jurulatih warga Perancis itu mempertahankan kenyataannya menjelang aksi pra-musim Real menentang Arsenal di Washington.

“Ada ketikanya bahasa Sepanyol saya mencetuskan persoalan,” kata Zidane.

“Saya mahu menjelaskan perkara ini. Pertama sekali saya tidak pernah tidak menghormati sesiapa apatah lagi seorang pemain.

“Saya sentiasa berkata perkara sama, pemain adalah paling penting dan setiap kali saya bersama pemain di sini, saya akan sentiasa bersama mereka.

“Perkara kedua, saya berkata kelab cuba menjualnya. Perkara ketiga, saya fikir paling penting untuk saya katakan bahawa Gareth tidak menukar jersi (bermain) kerana dia tidak mahu.

“Dia akan berlatih bersama kami hari ini. Dia akan berlatih bersama skuad hari ini tetapi esok adalah esok.

“Gareth adalah pemain Real Madrid, itu perkara paling penting, dia pemain skuad ini.”

Bale,30, menjulang empat gelaran Liga Juara-Juara sejak menyertai Madrid dari Tottenham Hotspur pada 2013 dengan harga rekod dunia ketika itu 100 juta euro (RM460.9 juta) namun dia bergelut mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 8:20 AM