CEBALLOS semakin hampir untuk dipinjamkan selama semusim ke kelab Arsenal. FOTO Agensi
Reuters

PENGENDALI Arsenal Unai Emery berkata hari ini bahawa pemain tengah Real Madrid Dani Ceballos adalah seseorang yang beliau kagumi ketika kelab Liga Perdana Inggeris itu berusaha membawa masuk seorang pemain.

Skuad Gunners masih belum membuat pembelian utama sepanjang jendela perpindahan tetapi media British melaporkan bahawa Ceballos, 22, semakin hampir untuk dipinjamkan selama semusim ke kelab London itu.

“Kami bercakap mengenai kemungkinan membawa masuk seorang pemain,” kata Emery menjelang aksi terakhir Piala Juara-Juara Antarabangsa menentang Real Madrid di Washington awal pagi esok.

“Kami mempunyai beberapa nama dan kelab sedang mengusahakannya.

"Ceballos adalah pemain yang amat bagus. Saya mengenalinya sejak bermain di Real Betis dan kini Real Madrid,” katanya mengenai Ceballos yang bermula di Betis sebelum berpindah ke Madrid pada 2017.

“Dia bermain dengan baik untuk skuad bawah-21 Sepanyol, pasukan kebangsaannya menjuarai Kejuaraan Eropah 2018. Dia boleh bermain sebagai pemain nombor lapan atau 10.”

Jika Arsenal menewaskan Real, mereka akan kembali ke England dengan rekod kemenangan 100 peratus hasil jelajah di Amerika Syarikat.

Pemain muda Arsenal mempamerkan aksi membanggakan, apabila menjaringkan tujuh daripada lapan gol pra-musim namun Emery merancang untuk memberi lebih masa kepada pemain senior di ibu negara Amerika Syarikat itu.

“Secara progresif kami akan menggunakan kurang masa (untuk pemain muda) untuk dikongsikan dengan pemain berpengalaman,” katanya.

“Saya akan mengambil lebih masa bersama pemain sebelum perlawanan esok untuk memikirkan lebih awal mengenai perlawanan menentang Newcastle (United pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris di St James’ Park, 11 Ogos ini).”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 8:37 AM