CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
Reuters

BINTANG bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo tidak akan berdepan dakwaan di Las Vegas bersabit tuduhan serangan seksual 10 tahun lalu kerana kes itu tidak dapat dibuktikan melebihi keraguan munasabah, kata pihak pendakwa awal pagi tadi.

Ronaldo yang dianggap sebagai antara bintang bola sepak terbaik sepanjang zaman dan beraksi dengan kelab Itali Juventus mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Kathryn Mayorga memfaikan saman sivil pada September 2018 di mahkamah negeri di Nevada mendakwa pemain bola sepak itu merogolnya di sebuah penthouse di Las Vegas pada 2009 kemudian membayar AS$375,000 (RM1.54 juta) supaya wanita itu menutup mulut.

Seorang wanita menghubungi polis Las Vegas pada 13 Jun 2009 untuk melaporkan dia diserang secara seksual dan polis membawanya ke hospital untuk pemeriksaaan, kata Pejabat Peguam Daerah Clark County dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Namun dia enggan mendedahkan individu yang dikatakan menyerangnya.

Kenyataan itu tidak mendedahkan identiti wanita itu tetapi saman sivil Kathryn menyamai dakwaan dibuat pihak pendakwa.

Kathryn dan Ronaldo masing-masing mencapai persetujuan sivil pada 2010 dan pihak berkuasa undang-undang tidak pernah mendengar apa-apa daripadanya lagi sehinggalah pada 28 Ogos 2018, apabila dia meminta polis membuka semua kertas siasatan.

Dia mendakwa Ronaldo adalah orang yang melakukan serangan seksual terhadapnya, menurut pihak pendakwa.

“Berdasarkan semakan terhadap maklumat yang diberikan ketika ini, dakwaan berhubung serangan seksual terhadap Cristiano Ronaldo tidak boleh dibuktikan melebihi keraguan munasabah,” kata Pejabat Peguam Daerah dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Peguam Ronaldo, Peter Christiansen, tidak menjawab panggilan manakala peguam Kathryn tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:29 AM