HELMI ketika menentang pasukan Kedah di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang


PENJAGA gol utama Pahang, Helmi Eliza Elias sudah sedia untuk kembali beraksi bagi menghadapi kempen Piala Malaysia.

Helmi yang juga bekas penjaga gol kebangsaan berkata, kecederaan lutut kiri dialami hampir pulih sepenuhnya dan sudah boleh menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan lain.

"Saya harap ia (kecederaan) pulih sepenuhnya dalam seminggu dua lagi dan seterusnya dapat kembali (beraksi) bersama pasukan dalam saingan Piala Malaysia.

"Setakat ini, ada perkembangan positif dan saya sudah dapat turun berlatih bersama rakan lain... saya perlu tingkatkan tahap kecergasan untuk kembali kepada prestasi terbaik sebelum dapat diturunkan dalam perlawanan sebenar," katanya.

Berikutan kecederaan itu, Helmi yang pernah menyarung jersi Kedah terlepas lima perlawanan dalam saingan Liga Super.

Tugas selaku penjaga gol utama itu diserahkan kepada penjaga gol kedua, Remezey Che Ros.

Lima perlawanan itu membabitkan perlawanan menentang Kuala Lumpur, PKNS FC, Terengganu FC (TFC), FELDA United FC dan Melaka United.

Helmi berkata, terlepas lima perlawanan liga memerlukannya lebih banyak berlatih dan mengembalikan stamina sebagai persiapan mengharungi cabaran lebih besar dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

"Kejayaan Pahang muncul naib juara Liga Super juga memberi semangat kepada saya dan rakan lain mencari kejayaan memandangkan kami sudah terlepas Piala Liga Super dan Piala FA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 11:54 AM