SELURUH pasukan Felda United meraikan kejayaan terus kekal dalam Liga Super untuk musim 2020 selepas berjaya mengalahkan Kedah pada Perlawanan Terakhir Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak (STAR). FOTO Mohd Faizol aziz


KEJAYAAN mara ke separuh akhir Piala FA dan kekal dalam saingan Liga Super musim depan sudah cukup untuk menjadi penyuntik semangat FELDA United mengharungi kempen Piala Malaysia.

Penjaga gol The Fighters, Norazlan Razali berkata, beliau dan rakan sepasukan lain sudah bersedia untuk berdepan cabaran lebih besar dalam saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula bulan depan.

"Kita sudah melepasi cabaran terbesar sebelum ini apabila hampir tersingkir ke Liga Perdana, tapi akhirnya kita berjaya meneruskan saingan dalam Liga Super musim depan.

"Kalau cabaran ini boleh kita atasi secara berpasukan, kita juga mampu memberikan cabaran dalam saingan Piala Malaysia, tidak ada masalah, asalkan semua (pemain) boleh mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Mengulas kemenangan besar 5-1 ke atas Kedah pada aksi penutup tirai Liga Super kelmarin, Norazlan berkata beliau dan rakan sepasukan tidak menjangkakan keputusan itu.

Katanya, ini kerana fokus utama ketika perlawanan itu adalah untuk memastikan The Fighters tidak tersingkir ke Liga Perdana."

Kemenangan ini juga dianggap sebagai menebus kekecewaan selepas tewas 0-4 pada pusingan pertama di Stadium Darul Aman pada 16 Februari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 12:02 PM