SHAW janji untuk menyukarkan Manchester City dan Liverpool musim depan. FOTO Agensi
Agensi

LUKE Shaw berkata kempen Manchester United begitu teruk hingga mengganggu percutiannya tetapi pertahanan itu berjanji untuk menyukarkan Manchester City dan Liverpool musim depan.

Kedudukan keenam musim lalu menyaksikan skuad Ole Gunnar Solskjaer terlepas tiket ke Liga Juara-Juara.

Memburukkan keadaan, ketika Shaw sedang bercuti di Los Angeles dan Dubai, tiga daripada pencabar United menjulang kejuaraan.

Manchester City menjuarai Piala FA untuk melengkapkan trebel kejohanan domestik, Chelsea menjulang Liga Europa dan Liverpool bergelar juara Eropah.

Dua lagi kelab dalam kelompok enam teratas, Tottenham dan Arsenal masing-masing beraksi dalam final kejohanan utama.

“Ia sesuatu yang sukar untuk kami semua terima dan anda tidak boleh menikmati percutian, anda menonton final Liga Juara-Juara dan Liga Europa, kesemuanya pasukan Inggeris,” kata Shaw.

“Ia membuat anda berasa makin teruk terutama bagaimana perjalanan kejohanan akhir itu dan tidak siapa pun mahu ia berlaku lagi.

“Musim lalu adalah kekecewaan yang teruk. Bagaimana pasukan lain boleh menjadi semakin baik terutama apabila kami sedang bercuti, ada pasukan lain menang trofi. Ia memang mengecewakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 12:27 PM