DE GEA hampir menandatangani kontrak selama enam tahun dan bersedia menjadi kapten Manchester United. FOTO REUTERS
Reuters

PENJAGA gol Manchester United David de Gea yang dilaporkan hampir menandatangani kontrak lanjutan selama enam tahun berkata dia bersedia menjadi kapten kelab Liga Perdana Inggeris itu.

De Gea,28, yang sekian lama dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Old Trafford tetapi berkata dia mahu membantu pasukan kembali ke puncak bola sepak Inggeris dalam acara bertemu peminat di Singapura.

Kapten United sebelum ini, Antonio Valencia meninggalkan kelab akhir musim lalu dan De Gea adalah antara beberapa pemain yang dikatakan bakal menggantikannya selain Ashley Young, Juan Mata, Chris Smalling dan Paul Pogba.

“Saya menjadi kapten untuk beberapa perlawanan. Sudah tentulah menakjubkan dapat menjadi kapten untuk kelab seperti Manchester United dan mempertahankan lencana ini,” kata De Gea.

“Ia sesuatu yang menakjubkan, sudah tentulah saya rasa amat gembira menjadi kapten.

“Ini adalah musim kesembilan saya, saya rasa seolah-olah pemain paling berpengalaman, kami banyak mencatat peningkatan.

“Kami adalah Manchester United, kami perlu berjuang demi trofi. Apabila kami memakai lencana ini, ia bermakna kami berjuang untuk segala-galanya, memberikan yang terbaik dan membawa pasukan kembali berada di puncak.

United yang tidak pernah tewas aksi jelajah pra-musim setakat ini dengan menewaskan Perth Glory, Leeds United dan Inter Milan, akan menentang Tottenham Hotspur di Shanghai pada Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 12:52 PM